Lagu Baharu Kurang ‘Umphh’

KUALA LUMPUR: Amira Othman mengaku single keempat, Mimpi Indah yang dipertaruhkan sejak tiga bulan lalu, kurang menyengat.

Amira memberitahu, lagu ciptaan Hael Husaini dan diterbitkan Edry Abdul Halim itu dilihat kurang menjadi, namun mungkin mengambil masa untuk popular.

“Saya sedar lagu Mimpi Indah kurang impak… Penerimaan terhadap single itu tidaklah seperti dihajati.

“Namun, saya belum berputus asa atau menyerah. Lagu saya sebelum ini, Hati-Hati pun mengambil masa lapan bulan untuk disedari ramai.

“Apatah lagi Mimpi Indah yang dilancarkan, tiga bulan lalu. Saya giat mempromosikan lagu ini selain mencari peluang menjadikannya lagu tema drama,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, pelakon Abam Bomba I Love You teruja bercerita mengenai projek duet bersama adiknya, Irfan Haris.

“Irfan sedang dalam proses mencipta lagu duet kami… Konsepnya lebih kepada balada. Namun, mungkin perlu menunggu sehingga Irfan menamatkan persekolah dulu sebelum dilancarkan.

“Adik saya masih belajar dan menetap di Johor Bahru. Kasihan pula lihat dia asyik berulang-alik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Amira berkata, Irfan tidak suka ponteng kelas.

“Adik saya sanggup bergegas pulang hari yang sama selepas tamat persembahan kerana tak mahu tercicir daripada kelas.

“Malah, dia mahu menyambung pelajaran. Saya mahu dia belajar di Kuala Lumpur supaya urusan seni lebih mudah,” katanya.

Mengenai rekaan busana kerjasamanya dengan Zareeth Zehra, Amira berkata, koleksi 10 rekaan itu menonjolkan elemen elegan dan ringkas.

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan pereka fesyen. Ada lapan baju kurung moden dan dua jubah. Saya pastikan pakaian direka tampak sopan,” katanya yang memperkenalkan jenama itu pada fesyen Starvilion di ibu negara, baru-baru ini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *