Felcra Agih Keuntungan Hasil Ladang RM306.94 Juta Kepada Peneroka

BERA – Felcra Berhad (Felcra) hari ini mengisytiharkan agihan keuntungan boleh agih sebanyak RM306.94 juta bagi hasil ladang tahun 2017 kepada kira-kira 67,881 pesertanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 23 peratus berbanding jumlah keuntungan yang direkodkan pada tahun 2016, iaitu sebanyak RM249.46 juta.

Beliau berkata, pembayaran dividen itu bermula hari ini dengan purata setiap peserta menerima sekitar RM3,000 hingga RM6,000 bergantung kepada keluasan tanah dan hasil tanaman.

“Keuntungan kasar ladang diperoleh tahun lalu dibantu amalan pengurusan yang baik membawa kepada peningkatan produktiviti ladang sebanyak 16 peratus kepada 17 metrik tan sehektar berbanding 15 metrik tan sehektar pada 2016.

“Selain itu, peningkatan 4 peratus purata harga sawit kepada RM548 semetrik tan berbanding RM529 semetrik tan pada 2016 juga menyumbang kepada peningkatan keuntungan untuk tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih 2017 kepada Peserta-peserta Felcra Berhad di Kompleks Rakan Muda di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Zulkarnain Md Eusope, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KKLW Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bera Datuk Mohd Fadil Othman.

Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata, peningkatan produktiviti dan harga komoditi itu juga menyumbang kepada peningkatan keuntungan sehektar daripada RM3,064 sehektar setahun tahun lepas berbanding RM2,376 sehektar pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 29 peratus.

Menurutnya pada kelazimannya, pembayaran dividen Felcra dilakukan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada musim perayaan Aidilfitri, musim baharu persekolahan dan bayaran akhir.

Pada perkembangan lain, Ismail Sabri juga mengumumkan program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) secara kerjasama Felca dan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) untuk memperkasa agenda pendidikan anak dan cucu peserta Felcra.

“BUDI membuka peluang kepada anak dan cucu peserta Felcra untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara dan mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,500 setahun untuk bayaran tuisyen dan keperluan lain.

“Bagi tujuan ini, Felcra memperuntuk sebanyak RM1.250 juta untuk tempoh lima tahun dengan sasaran seramai 166 anak atau cucu peserta Felcra mendapat manfaat ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain dalam ucapannya berkata agenda pendidikan menjadi keutamaan Felcra dan selain program BUDI, pihaknya juga mempunyai Kolej Felcra untuk membantu anak peserta yang tidak mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran.

Kolej itu menerima kemasukan pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya tiga kredit pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka berpeluang memilih satu daripada sembilan jurusan yang ditawarkan.

“Felcra memberi biasiswa sebanyak 20 peratus manakala 80 peratus lagi kos pembelajaran diberi bantuan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jika mereka memperoleh keputusan yang cemerlang, pinjaman PTPTN akan dijadikan biasiswa. Ini adalah cara untuk kita membantu meningkatkan peluang anak-anak luar bandar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *