Transformasi FELDA 2.0 Bantu Tingkat Pendapatan Peneroka

BANGI – Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2.0 bakal mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata pelancaran Felda 2.0 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas, dalam mewujudkan sebuah komuniti Felda yang pintar, mampan dan berdaya tahan serta lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar hanya akan berjaya menerusi komitmen peneroka sendiri.

“Felda menjadi peneraju dalam agenda transformasi luar bandar…ini bermaksud melakukan perubahan dan pembangunan luar bandar di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Konvensyen Pembangunan Koperasi Felda 2018 di sini hari ini.

Konvensyen bertemakan ‘Melestarikan Koperasi Felda’ itu berlangsung selama tiga hari mulai Selasa lepas. Majlis penutup itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Shahrir berkata lebih 1,000 peserta dari semua koperasi tanah rancangan Felda menyertai konvensyen itu yang bermatlamat memperkasa peranan koperasi sejajar dengan hala tuju dan dasar koperasi kebangsaan.

“Tujuan konvensyen ini untuk mendedahkan anggota Lembaga Koperasi Rancangan Felda mengenai peranan, pengurusan dan perniagaan Koperasi Felda. Selain daripada wakil koperasi, wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan anggota pengurusan Felda turut menyertai konvesyen itu.

“Konvensyen ini juga memberi pendedahan dan idea untuk mengembangkan aktiviti koperasi rancangan Felda dalam bidang perkhidmatan dan perniagaan bagi menjana pendapatan dan hasil yang tinggi serta memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat,” katanya.

Shahrir berkata peneroka perlu jelas dengan agenda transformasi luar bandar itu dan menjadikan Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang sebagai contoh terbaik dalam pembangunan luar bandar yang melibatkan tanah rancangan Felda.

Sementara itu, beliau meminta peneroka Felda tidak terpedaya dengan gimik memancing undi oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menghapuskan hutang peneroka, yang merupakan antara perkara terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pakatan pembangkang.

Shahrir berkata Felda sudah pun mengeluarkan kenyataan pada 17 April lepas, menyatakan bahawa Felda berjaya mengurangkan hutang peneroka menerusi pelan jangka panjang yang diperkenalkan agensi itu pada tahun lepas.

“Pelan melibatkan perubahan struktur itu diperkenalkan pada 23 Julai tahun lepas bagi menyelesaikan isu hutang tanam semula yang membebankan peneroka. Ia merangkumi pelupusan hutang tanam semula bernilai RM5,000 bagi semua peneroka yang bersama Felda,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *