Pembangkang Tandus Idea

PONTIAN – Gabungan pembangkang PKR disifatkan ‘bankrap’ isu apabila sering mengu­langi tuduhan liar dan fitnah yang sama bagi mengelirukan pemikiran rakyat kata Pengerusi Biro Teknologi Mak­lumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, antara isu dan tuduhan yang diulang-ulang oleh mereka adalah dana RM2.6 bilion, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Saya minta semua pihak, khususnya pemimpin pembangkang supaya hentikan tuduhan dan fitnah mengenai pelbagai perkara seperti dana RM2.6 bilion, 1MDB dan GST ini. Pembangkang ulang-ulang tuduhan ini kerana mereka tiada isu lain,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Pakaian Anak Orang Asli Islam Johor dan Program Makanan Sihat Sekolah-sekolah Agama Daerah Pontian di Dewan Sri Pinang, di sini semalam, petik Utusan

Hadir sama, Senator Datuk Isa Hamid dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Pontian, Adam Mohamed.

Ahmad selaku Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, tuduhan tidak berasas dan pelbagai fitnah termasuk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan negara serta dasar kerajaan itu telah dibuktikan tidak benar.

“Contohnya dalam isu 1MDB, telah dibuktikan pun dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara tidak ada satu sen pun duit masuk ke dalam akaun Perdana Menteri.

“Pembangkang ini memang sengaja mengulang-ulang tuduhan itu walaupun mereka tahu tidak benar kerana mahu mengelirukan rakyat agar percaya tentang perkara itu,” katanya.

Tambah penyandang kerusi Parlimen Pontian itu, turut menyifatkan pemimpin gabu­ngan pembangkang PKR sebagai mengikut falsafah yang digunakan Menteri Propaganda Nazi, Paul Joseph Goebbel pada era Hitler supaya sentiasa mengulangi sesuatu pembohongan yang akhirnya akan dianggap sebagai satu kebenaran.

“Kita jangan terperangkap dengan pembohongan seperti ini kerana pembohongan tetap pembohongan.

“Sebagai umat Islam, kita kena berpegang teguh dengan ajaran agama suci ini bahawa pem­bohongan tetap akan menjadi pembohongan, tidak akan menjadi satu kebenaran,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *