Pembangkang ‘Muka Tebal’ Kata Najib

TELUK INTAN – Gabungan pembangkang PKR disifatkan sebagai ‘tidak tahu malu’ dan ‘muka tebal’ apabila meniru kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, me­reka membuat pusingan U apabila memasukkan pemberian BR1M dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedangkan sebelum ini bantuan tersebut dikritik hebat.

“Dulu kata BR1M tak baik, dedak, rasuah tapi alih-alih da­lam manifesto mereka ada pula BR1M, selama ini kutuk BR1M. Tak malu, muka tebal.

“Kenapa dalam manifesto ada pula BR1M? Sebab BR1M membantu keluarga seperti yang saya umumkan bahawa pada Ramadan ini kita akan bayar bukan RM400 tapi RM800 untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Rak­yat 1Malaysia (PR1MA) Teluk Intan di Jalan Changkat Jong di sini, petik Utusan

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Sehubungan itu, mengulas mengenai PRU-14, Najib mengajak para pe­ngundi khususnya di Parlimen Teluk Intan memilih wakil rak­yat yang dapat memberi faedah dan keuntungan kepada rakyat.

Menurutnya, jika mengikut ukuran tersebut, BN memiliki rekod yang lebih baik berban­ding pembangkang.

Merujuk kepada calon gabungan pembangkang PKR yang akan bertanding di Parlimen Teluk Intan iaitu Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, Najib menegaskan, karektornya berbeza dengan calon BN.

Tambahnya, Siew Keong seorang pemimpin yang merendah diri, kurang bercakap tapi banyak kerja dan sentiasa mementingkan orang Teluk Intan.

“Pembangkang banyak berkempen secara negatif sebab mereka tiada apa-apa yang boleh dipaparkan kepada rakyat sebagai sumbangan termasuk menjual cerita-cerita palsu dan tidak benar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *