BR1M Bukan Rasuah

KUALA KANGSAR – Inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) turut dilaksanakan di negara-negara lain sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya program itu adalah ra­suah politik kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, mahu menegakkan prinsip bahawa setiap hasil kewangan negara yang bertambah melalui pentadbiran berhemat, mesti di­pulangkan kembali kepada rak­yat.

“Di mana-mana negara pun ada sistem, cuma dia tidak dipanggil BR1M. Di Arab Saudi, dimasukkan ke dalam akaun. Di Singapura, masuk akaun Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF).

“Di Amerika Syarikat (AS), dia bagi setem makanan, maknanya kalau pergi ke kedai atau pasar raya, boleh beli barang. Kita bagi tunai sebab hendak pergi pasar raya boleh, beli nasi lemak pun boleh, hendak pergi pasar tani pun boleh, hendak buat apa pun boleh,” katanya ketika berucap merasmikan program ramah mesra dan jamuan rakyat bersama Perdana Menteri di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Najib turut membidas dakwaan kononnya ekonomi negara merudum sebaliknya menegaskan nilai mata wang negara semakin kukuh seperti dibuktikan melalui unjuran yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini yang menjangkakan kenaikan antara RM3.60 dan RM3.70 berbanding dolar AS.

Tambahnya, jika Malaysia adalah negara bankrap, tidak mungkin dapat menarik pelaburan Saudi Aram­co sebanyak AS$7 bilion untuk projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang, Johor selain berupaya menaikkan gaji penjawat awam dua kali tahun ini, petik Utusan

“Baru-baru ini, kita terima sebanyak RM28 bilion yang masuk ke akaun Petronas atas sebab ringgit kita antara matawang paling kukuh. Zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, (Bank Negara Malaysia) hilang RM31 bilion dalam urus niaga mata wang a­sing (pada 1990-an),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *