Presiden PAS Perlu Buang Sifat Angkuh Jika mahu Dihormati, Kata Khalid Samad

SHAH ALAM – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinasihatkan agar membuang sifat angkuh jika ingin terus dihormati.

Nasihat itu datangnya daripada bekas pemimpin PAS, Khalid Samad, yang kini menggalas tugas Pengarah Komunikasi Amanah.

“Mungkin pihak luar yang tidak pernah berada dalam barisan kepemimpinan bersama Abdul Hadi tidak tahu perangainya. Sikap Abdul Hadi dari dulu memang begitu (memperlekehkan orang).

“Jika sebelum ini, bekas pemimpin PAS yang kini berada dalam Amanah banyak membantu mengawal sikap Abdul Hadi yang angkuh dan ekstrem.

“Tanpa kami, sikapnya yang sebenar semakin terserlah. Dia suka memperlekehkan parti lain, angkuh dan sombong, itulah sifat sebenar Abdul Hadi,” katanya dipetik BH Online.

Khalid mendakwa bukan sesuatu yang menghairankan jika Abdul Hadi sering melabelkan pihak lain dengan pelbagai gelaran kerana berasakan hanya dirinya hebat serta mengikut ajaran Islam, manakala orang lain sebaliknya.

Ahad lalu, Abdul Hadi ketika merasmikan jentera pilihan raya PAS Selangor berkata, parti itu berhasrat membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau menyifatkan Selangor antara negeri utama untuk PAS menang besar pada PRU14, sekali gus menafikan cita-cita Amanah mengganti peranan partinya, yang dianggap sebagai parti ‘nyamuk’. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *