Mengata PAS Berangan, Mahathir Umpama Paku Dulang Paku Serpih

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menyerang PAS dengan menyifatkan hasrat parti itu untuk bertanding 130 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan majoriti mudah adalah “angan-angan Mat Jenin.

Dalam nada sindiran beliau menyifatkan hasrat PAS itu sebagai `hebat’. Namun Mahathir terlupa bahawa beliau juga macam PAS, yang mahu menjadi Perdana Menteri semula, selepas 22 tahun memerintah negara.

Ibarat pepatah `paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Agaknya Mahathir terlupa untuk melihat dirinya semula yang kini berangan untuk berkuasa semula.

Untuk tujuan itu beliau sanggup duduk sepentas dan berkerjasama dengan pembangkang yang pernah memanggilnya dengan pelbagai gelaran buruk suatu ketika itu.

Gelaran diktator, perompak, rasis, mahazalim, mahafiraun dan banyak lagi sudah sebati dengan pembangkang dulu tetapi kini demi mencapai matlamatnya untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka Mahathir tidak peduli apa yang dikatakan pembangkang kepadanya dulu.

Jika Mahathir mempunyai cita-cita untuk menjadi semula Perdana Menteri, begitu juga dengan PAS yang mempunyai cita-cita mereka sendiri.

Pada usia 93 tahun, Mahathir kini mahu mencuba nasib sekali lagi untuk menjadi Perdana Menteri namun beliau tahu PAS akan menjadi pengacau kerana sebarang pertandingan melibatkan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini akan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Dulu Mahathir menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bekerjasama dengan PAS namun ditolak oleh parti itu kerana PPBM mempunyai hubungan dengan DAP, iaitu musuh PAS.

Akhirnya hasrat untuk bekerjasama itu terkubur dan sejak itu Mahathir semakin lantang menyerang PAS. Malah Mahathir mendakwa kedegilan Pas untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam menakluki Putrajaya dilihat menjadi punca umat Islam berpecah.

Disebab keceluparan mulut Mahathir itu maka PAS telah mengingatkan beliau supaya tidak perlu mengajar PAS menjadi pembangkang kerana PAS sudah berada dalam arena politik di Malaysia lebih 60 tahun.

“Ada orang nak mengajar Pas untuk menjadi pembangkang padahal dia baru sehari, dua keluar daripada UMNO. Nak lawan BN, belajar dari Pas.

“Ini baru nak belajar jadi pembangkang, nak ajar kita untuk menjadi pembangkang. Kita bertarung selama 67 tahun kerana atas prinsip dan dasar,” demikian kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pada bulan lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *