‘Pocong’ Mohon Maaf, Tak Buat Lagi

ALOR SETAR -“Maafkan kami. Kami insaf dan tak buat lagi.” kata Seorang remaja berusia 16 tahun .

Remaja itu ditangkap kerana menyamar sebagai ‘pocong’ di kawasan Bukit Pinang di sini, mengakui serik dengan perbuatan menakut-nakutkan kumpulan kanak-kanak pulang dari mengaji, malam Jumaat lalu.

Walaupun tidak didakwa, ‘denda’ diberikan anggota polis bertugas selepas ditahan pada malam berkenaan iaitu menyuruhnya melompat seperti pocong hampir 15 minit selepas dibawa ke pekan Bukit Pinang, menginsafkan remaja itu kerana menyifatkannya amat memalukan, petik BH

Ketika ditemui, beliau berkata, tindakan bersama tiga rakan itu tidak berniat jahat, sebaliknya hanya mahu mengusik budak kampung yang pulang mengaji al-Quran serta rakan yang melepak di kawasan taman terbabit.

Katanya, idea menyamar sebagai pocong itu datang daripada seorang rakan berusia 18 tahun.

“Saya menawarkan diri untuk dibalut dengan selimut dan dua rakan lain berusia 14 dan 15 tahun turut membantu mengikat saya seperti pocong di tempat kami sering melepak di stor simpanan getah sekerap Kampung Padang Kunyit.

“Lepas dibalut, kami berempat menaiki dua motosikal dan meronda kampung dengan niat menakutkan budak pulang dari mengaji.

“Selepas itu, kami ke jalan besar untuk mengusik rakan yang melepak di Taman Pinang Jaya tetapi tak sempat sebab ditahan anggota polis yang meronda dengan motosikal.

“Saya dibawa ke pekan Bukit Pinang sebelum didenda melompat seperti pocong.

“Malunya saya tak tahu nak cakap, lagi pun kami tak sempat mengusik,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Kampung Padang Kunyit, dekat Bukit Pinang, di sini, hari ini.

Selepas didenda, keempat-empat remaja itu dibawa ke Balai Polis Kepala Batas di sini, sebelum dibebaskan kira-kira jam 1 pagi.

“Polis menasihatkan kami tidak mengulangi perbuatan ini kerana berisiko mendatangkan bahaya terutama kalau ada yang mengalami masalah jantung.

“Saya minta maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan ini kerana serik ditahan polis,” kata remaja yang menjadi ‘pocong’ itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengesahkan kejadian dan mereka yang ditahan diberi nasihat sebelum dibebaskan.

“Kita dapati mereka cuma nakal dan tiada niat melakukan jenayah mencuri atau sebagainya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *