Pemimpin PKR Menggelabah Bila Penyokong Kempen Undi Rosak Di Media Sosial

KUALA LUMPUR – Baru beberapa hari selepas kempen “#UndiRosak” dilancarkan oleh sekumpulan pengguna laman sosial, pemimpin pembangkang mula menggelabah apabila diserang dalam media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial yang menggunakan hashtag tersebut melahirkan rasa tidak puas hati kepada pembangkang terutamanya dalam isu melibatkan pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pembangkang.

Dua pemimpin pembangkang yang menjadi sasaran adalah Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mana kedua-dua individu ini aktif dalam laman Twitter dan Facebook.

Seorang pengguna akaun Twitter, Muhammad Syafiq membalas komen Saifuddin dengan berkata, “Pilih sahaja calon lain, bukan Mahathir. Ia akan selesai isu ini.”

Nurul Izzah yang juga diberi tekanan dalam media sosial tidak tahan dan memberikan reaksi terhadap kempen tersebut dengan menulis dalam akaun Facebooknya, “Kerana satu undi boleh membawa perubahan! Katakan tidak pada #UndiRosak. Turun lah mengundi, laksanakan tanggungjawab kita kerana #MasaDepanMilikKita.”

Seorang pengguna Facebook, Suhaimi Ismail membalas di ruang komen Nurul Izzah dengan kritikan pedas berkata, “#UndiRosak pilihan kami. YB boleh teruskan bersama mamak kutty yang zalimi bapa kamu dan rakyat. Aku hampir makan boot FRU masa sama2 protes kezaliman mamak kutty terhadap bapa kamu dahulu. Sekadar sepenggal lagi beri pada Jibby xde hal kami masih boleh bertahan kerana kami ini adalah survivor 22 tahun MAHAFIRAUN!”.

Kempen tersebut memperlihatkan manifestasi khususnya kelompok anak muda dan penyokong pembangkang yang kecewa dengan tindak tanduk kepimpinan parti sehingga memilih calon kitar semula sebagai Perdana Menteri jika memenangi PRU14.

Pembangkang patut bimbang dengan fenomena penolakan ini kerana anak muda yang satu ketika dahulu menaruh nasib kepada mereka nampaknya sudah merasa tertipu dengan janji pembangkang yang sentiasa tidak konsisten. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *