Nilai Ringgit Mengukuh 2.9 Peratus Berbanding Dolar AS – BNM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ringgit menambah nilai sebanyak 2.9% berbanding dolar AS pada suku ke-3 2020, susulan aliran masuk portfolio bukan pemastautin yang berterusan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, aliran masuk ini didorong oleh sentimen pelabur yang positif berikutan terdapatnya tanda-tanda pemulihan dalam kegiatan ekonomi global apabila banyak negara melonggarkan sekatan pergerakan dan mula membuka semula ekonomi mereka secara beransur-ansur.

“Peningkatan kesanggupan pelabur mengambil risiko turut disokong oleh perubahan rangka kerja dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang menandakan bahawa dasar monetari AS akan kekal akomodatif untuk jangka masa lebih panjang” katanya dalam kenyataan hari ini.

BNM berkata, perkembangan ini sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau, yang menambah nilai berbanding dolar AS pada suku tahun itu.

“Meskipun kes Covid-19 menular semula dalam beberapa ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun selepas tempoh suku ke-3 baru-baru ini, sentimen pelabur terus disokong oleh pemulihan ekonomi China yang stabil dan pertumbuhan global yang diunjurkan meningkat pada 2020 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Hasilnya Malaysia mencatatkan aliran masuk portfolio bukan pemastautin dan ringgit menambah nilai sebanyak 0.6% berbanding dolar AS sejak akhir Sept 2020 (setakat 12 Nov),” katanya.

BNM berkata, persekitaran global kekal dalam keadaan yang sangat tidak menentu dalam tempoh terdekat, yang boleh menyebabkan tempoh volatiliti bagi aliran modal dan kadar pertukaran meningkat pada masa hadapan.

Sementara itu, pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus berkembang pada asas tahunan sebanyak 4.6%.

BNM berkata pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat pada suku ke-3, disokong terutamanya oleh pinjaman isi rumah dengan peningkatan yang menyeluruh dalam permintaan pinjaman.

Selain itu katanya, pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan sederhana disebabkan oleh pengeluaran pinjaman lebih perlahan untuk tujuan modal kerja.

“Tahap pengeluaran pinjaman juga pulih dengan pengeluaran isi rumah melebihi tahap yang pernah dicatatkan sebelum ini,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat