‘Kalau Bukan Kita Yang Pertahankan Mekah, Siapa Lagi…’

SHAH ALAM – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau memberi peringatan tegas kepada wakil negara di Persidangan Organisation of Islamic Cooperation (OIC) semalam, berhubung isu mempertahankan Mekah.

Menurutnya, penegasan itu diucapkannya dengan memetik ayat 126 daripada Surah al-Baqarah yang menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS yang berdoa agar ALLAH SWT memelihara kesucian Mekah.

“Lalu ALLAH SWT berfirman, “Permohonanmu itu diterima, tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka AKU akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian AKU memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.”

“Ayat tersebut jelas mengingatkan kita semua, bahawa jika bukan umat Islam yang perlu mempertahankan kota Suci Mekah, siapa lagi yang patut mempertahankannya,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Hishammuddin bertolak ke Arab Saudi, pada 20 Januari lalu, untuk menghadiri mesyuarat tergempar OIC di Arab Saudi, bagi membincangkan mengenai serangan daripada Yaman ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Mesyuarat tergempar yang disertai negara-negara anggota OIC itu diadakan di Jeddah sebelum memikirkan mengenai masa depan Yaman pula. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *