6 Kali Khatam Al Quran

KOTA BHARU – Mula mengenali huruf al-Quran ketika berumur enam tahun, Muhammad Hazim Zahari, 16, sudahpun enam kali khatam setakat ini.

Bukan sahaja bergelar tahfiz pada usia muda, anak keenam daripada tujuh beradik itu juga menjadi imam solat jemaah di masjid sekitar Pulai Chondong, Machang, sejak tahun lalu.

Muncul sebagai Hafiz Terbaik Keseluruhan Tingkatan Tiga Ke Bawah dan Hafiz Terbaik Sekolah 2017 sempena Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) Ke-8, hari ini, pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, Pulai Chondong itu kini menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran.

“Sepanjang menuntut di maahad tahfiz itu sejak empat tahun lalu, kami menghafaz al-Quran sekurang-kurang lima jam setiap hari.

“Tiada kaedah khusus dipraktik untuk melancarkan proses hafazan, cuma ustaz menasihati kami membaca dalam keadaan santai dan tidak terlalu menekankan hafazan,” katanya, lapor BH

Beliau yang menjadikan memakan kismis amalan harian berkata, memang impiannya sejak kecil untuk memasuki maahad tahfiz kerana menganggap ilmu (agama) yang diperoleh adalah bekalan di akhirat nanti.

Muhammad Hazim yang aktif menyertai Musabaqah al-Quran Kategori 20 Juzuk, malah meraih tempat pertama Kuiz Matematik Sains Peringkat Akhir tahun lalu, turut menyimpan impian menyambung pengajian di Madinah dalam jurusan Syariah suatu hari nanti.

Pada Majlis Graduasi Tahfiz YIK Ke-8 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, seramai 346 pelajar sekolah tahfiz menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan masing-masing.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, serta turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *