Lelaki Lompat Dari Pintu Gerbang

KUCHING – Penduduk di Kampung Muara Tebas di sini gempar dengan tindakan seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan melompat dari atas pintu gerbang kampung tersebut, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.59 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, seorang lelaki berusia dalam linkungan 30-an cuba membunuh diri selepas memanjat pintu gerbang setinggi kira-kira 15 meter.

“Sejurus menerima maklumat itu, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seorang lelaki sedang berdiri di atas pintu gerbang sambil mengugut untuk bunuh diri dengan terjun ke bawah,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi, lapor Kosmo

Mengulas lanjut, Ling Hii memberitahu, pasukan bomba yang dibantu anggota polis serta penduduk kampung kemudian berusaha untuk memujuk lelaki terbabit.

Katanya, selepas lebih dua jam memujuk, usaha itu akhirnya berhasil apabila lelaki yang tidak memakai baju berkenaan bersetuju membatalkan niatnya untuk membunuh diri.

“Lelaki itu kemudian turun dengan menggunakan tangga dari jentera bomba tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Polis kemudian membawa lelaki itu ke balai untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *