Hilang 2 Tahun, Kereta Ditemui Semula

BINTULU – Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dilaporkan hilang di Batu Niah, Miri, dua tahun lalu ditemui semula dalam sekatan jalan raya di Batu 11, Jalan Bintulu-Miri, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an, yang juga pemandu dan penumpang kenderaan itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dalam sekatan jalan raya jam 4.30 pagi tadi, pegawai dan anggota bertugas terserempak kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan terbabit dilaporkan hilang oleh pemiliknya di Batu Niah (Miri), dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, sebentar tadi.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Miri esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Sementara itu, Zulkipli berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu akan meneruskan operasi sekatan jalan raya bagi membanteras kes jenayah di daerah berkenaan, terutama membabitkan curi kenderaan.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai melaporkan ke balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat atau melihat sebarang perbuatan curi kenderaan di sekeliling mereka agar tindakan segera dapat diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *