Polis Tahan Lelaki, Rampas 10 Kenderaan Disyaki Klon

Polis menahan seorang lelaki dan merampas 10 kenderaan mewah disyaki kenderaan klon yang diletakkan di tempat letak kereta Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibunegara kelmarin.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi satu kenyataan berkata dalam operasi pukul 10 malam itu, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 40-an yang memandu kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire di tempat letak kereta itu.

“Pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sembilan kunci kereta yang diletakkan di dalam begnya.

Soal siasat mendapati kesemua kunci tersebut milik sembilan buah kenderaan lain yang diletakkan berhampiran Toyota Vellfire yang dipandu suspek,” kata kenyataan itu.

Antara kenderaan yang dirampas ialah Toyota Vellfire, Toyota Estima, Nissan Frontier, Toyota Vios dan Nissan Urvan.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kenderaan ini menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu.

“Kenderaan-kenderaan ini dipercayai digunakan untuk tujuan sewaan kepada orang ramai. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” kata kenyataan itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *