Polis Antidadah Tangkap Polis Lebuh Raya Subahat Edar Dadah

Selepas menahan seorang wanita, polis antinarkotik berkunjung ke rumah suspek untuk membuat siasatan lanjut.

Mereka menjangkakan akan menemui lebih banyak bekalan dadah yang diseludup dari Laos. Namun apabila tiba di premis yang terletak di Khlong Luang, Pathum Thani di tengah Thailand, polis terbabit menemui lebih daripada itu.

Mereka bertemu suami suspek – yang juga seorang anggota polis kanan bahagian trafik. Lelaki terbabit berpangkap leftenan kolonel yang berkhidmat sebagai pegawai penyiasat polis lebuh raya.

Jurucakap polis Pathun Thani berkata sebelum ini Thip-arpha Raksasaeng, 31, ditahan di Udon Thani kerana dipercayai menyeludup dadah.

Sebagai tindakan susulan pihak berkuasa berkunjung ke rumah wanita terbabit untuk menyita semua aset yang berkaitan dengan jenayahnya.

Bagaimanapun di rumah itu mereka menemui suami suspek, Thanakrit Nitsaphan, yang disyaki turut memainkan peranan dalam jaringan penyeludupan dadah Thip-arpha.

Kata jurucakap polis Thanakrit mungkin banyak memberikan maklumat mengenai laluan yang ‘selamat’ untuk membawa dadah dari Laos melalui jalan timur laut itu sehingga ke selatan.

“Thanakrit kini dipindahkan ke Biro Siasatan Pusat untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post hari ini.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *