Ujian Bawa Pelancong Angkasa Berjalan Lancar

LONDON – Syarikat Virgin Galactic berjaya menyempurnakan ujian pe­nerbangan kapal angkasa VSS Unity, sekali gus meletakkan syarikat berkenaan di landasan tepat untuk meneruskan misi menghantar pelancong ke angkasa dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut portal Mail Online, ujian berkenaan yang dijalankan semalam menyaksikan kapal angkasa itu mendarat dengan selamat daripada altitud hampir 15,000 meter.

“Sudah beberapa bulan sejak penerbangan terakhir kami, di mana kami bekerja melalui tempoh masa yang dirancang.

“Ini melibatkan analisis yang luas, pengujian dan pengubahsuaian kecil untuk memastikan kesediaan kenderaan untuk memikul beban serta daya kuasa yang lebih tinggi,” kata jurucakap Virgin Galactic.

Semasa ujian penerbangan tersebut, kapal angkasa VSS Unity melepaskan 450 liter air, selain melakukan simulasi peralihan berat yang biasanya disebabkan oleh bahan bakar roket.

Tidak seperti syarikat-syarikat angkasa lepas ko­mersial lain, seperti SpaceX dan Blue Origin, Virgin Galactic memulakan pe­nerbangannya tanpa menggunakan pelancaran roket yang biasa dilakukan, lapor Utusan

Syarikat itu, sebaliknya melancarkan VSS Unity dan kapal lain dari pesawat penerbangan yang dikenali sebagai VMS Eve.

Pengasas syarikat ber­kenaan, Richard Branson berkata, pihaknya yakin kapal angkasa VSS Unity bersedia membawa pelancong menyertai ujian penerbangan suborbital menjelang bulan April ini.

Setakat ini, lebih 700 hartawan termasuk sele­briti terkenal, Brad Pitt dan Katy Perry telah menempah kerusi berharga hampir AS$250,000 (RM992,562) untuk menikmati perjalanan ke angkasa yang ditawarkan syarikat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *