Polis Tahan Lelaki Pukul Isteri Hingga Mati

TAIPING – Cemburu buta mendorong seorang lelaki memukul isterinya hingga mati di sebuah rumah di Matang Road, Matang dekat sini, malam Khamis lalu.

Noor Waheedah Abd Wahid, 38, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat trauma tumpul di kepala, jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata pihaknya menerima laporan daripada suspek berusia 40 tahun pada jam 9.15 pagi kelmarin, memaklumkan isterinya cedera dan tidak sedarkan diri selepas dipukul.

“Mangsa dibawa ke Hospital Taiping menaiki ambulans sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pemeriksaan lanjut pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada suspek yang mengesyaki mangsa mempunyai hubungan rapat dengan lelaki lain.

“Pemeriksaan di HRPB mendapati mangsa mempunyai pendarahan dalam otak sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat pagi tadi mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan kepala disebabkan trauma tumpul.

“Susulan kejadian itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan direman tiga hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, polis akan memohon reman suspek disambung untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *