37 Tahun Berpisah Dengan Ibu

KULIM – Pada umur lima tahun, seorang kanak-kanak belum mengerti makna perpisahan antara seorang ibu dan anak.

Selama 37 tahun hubungan itu terputus selepas dia dibawa pulang ke Parit Panjang dekat Baling, Kedah oleh bapanya manakala ibunya terus menetap di Batu 6, Puchong, Selangor selepas ke­dua-dua mereka berpisah.

Sejak itu, dia tidak pernah bertemu dengan ibunya yang berasal dari Ipoh dan berketurunan Mandailing itu malah tidak pernah terbayangkan bagaimana rupa insan yang melahirkannya ke dunia.

Namun, segalanya berubah tiga hari lalu apabila dia akhirnya berjaya mendengar suara wanita itu yang berjaya menjejakinya hasil usaha seorang wanita, Huwaina Ibrahim iaitu adik tirinya menerusi laman sosial Facebook.

Bagi Muhammad Zakri Yussuf, 42, semuanya bagaikan mimpi apabila dia dihujani panggilan telefon dan Whatsapp yang bertanyakan sama ada lelaki yang dicari oleh Huwaina yang didakwa terpisah dengan ibunya itu adalah dirinya.

Menurutnya, paparan di Facebook itu dikongsi oleh rakan-rakan dan saudara ma­ra­nya sebelum dia dihubungi oleh Huwaina dan dapat mendengar suara ibunya, Zainah Adenan, 67, yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

“Saya sendiri tidak tahu tentang status dalam Facebook itu yang dimuat naik oleh Huwaina pada 2 Januari lalu dan dikongsi dalam beberapa kumpulan serta tersebar dalam Whatsapp.

“Selepas disahkan sendiri oleh bapa saudara saya, ak­hirnya saya dapat dengar suara ibu kandung saya tiga hari lalu. Memang saya terpaku dan bagaikan tidak percaya sebab tak sangka ibu saya masih hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, dia sendiri masih kekok untuk memang­gil ibunya ‘emak’ kerana jangka masa 37 tahun bukan sekejap, namun dia kini sedang membiasakan diri untuk berdepan dengan wanita yang dirinduinya itu.

Jelas Muhammad Zakri, dia kini sedang berbincang de­ngan Huwaina untuk bertemu ibunya dan belum pasti sama ada pertemuan itu diadakan di ibu negara atau di kampung halamannya di Baling.

“Saya rasa teruja untuk bertemu ibu malah saudara mara di Baling juga berhasrat untuk mengadakan majlis besar-besaran untuk menyambut ke­­datangan mereka,” ujarnya yang kini telah berkahwin dan memiliki seorang anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *