Tiada Tawaran, Jual Roti Jala

KUALA LUMPUR – Pelakon Raja Afiq mendakwa, terpaksa berniaga roti jala dan brownies untuk menampung hidup selepas tidak lagi menerima tawaran berlakon gara-gara terkait isu menghamilkan seorang gadis hingga melahirkan bayi hasil hubungan sulit.

Raja Afiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 25,

berkata sejak gosip itu bertebaran hampir tiga bulan lalu, tawaran berlakon mula menjauhi apabila namanya digugurkan pada saat akhir.

Justeru, sehingga kini memaksanya mencari sumber pendapatan lain untuk menanggung keluarga.

“Saya tidak malu menjual roti jala dan brownies di gerai untuk menampung hidup. Saya juga menerima tempahan di laman sosial dan sanggup menghantar sendiri kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya ada rezeki yang masuk. Tiada guna saya terus menyalahkan takdir yang tertulis.

“Saya harus bangkit demi keluarga. Menangis air mata darah sekalipun, saya harus meneruskan hidup. Saya bukan orang senang, selain turut menanggung keluarga.

“Apa yang akan mereka makan jika saya terus meratapi nasib? Komitmen lain seperti kereta dan rumah juga harus dibayar,” katanya dalam nada hiba.

Katanya, selama ini, dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu melayan isu panas yang tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Tidak sangka tindakan itu membuatkan saya menjadi mangsa hingga kerjaya lakonan hampir terkubur. Saya tidak tahu apa salah dan silap saya.

“Gosip itu terlalu kejam hingga ada yang menganggap, saya berperangai buruk seperti itu,” katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz itu berkata, dia tidak perlu takut dengan bayang-bayangnya sendiri kerana tidak bersalah.

Baginya, cukup dia menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT kerana percaya, doa orang teraniaya akan dimakbulkan.

“Alhamdulillah, akhirnya gadis itu membuat pengakuan bayi yang dikandungnya bukan hasil hubungan dengan artis, lapor BH

“Saya bersyukur Allah tunjukkan jalan yang sebenar. Tidak adil untuk terus meletakkan hukuman kepada saya dan rakan artis lain yang namanya turut dipalit sama.

“Ia ibarat penganiayaan apabila periuk nasi saya ditabur pasir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *