Malaysia Lancar Perang Tangkis Ideologi Daesh

PUTRAJAYA – Selain mengekang ancaman serangan fizikal, Malaysia telah melancarkan perang habis-habisan terhadap Daesh dan kumpulan-kumpulan ekstremis lain bagi menangkis ideologi mereka, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika berucap di Institut Hubungan Antarabangsa di Ashgabat, Turkmenistan semasa lawatan rasminya ke negara itu semalam, beliau berkata Daesh dan propagandanya berusaha untuk menembusi dan mempengaruhi pemikiran golongan belia dengan menyebarkan ideologi dan agenda berniat jahat terutama melalui platform digital.

Salinan teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama.

Justeru, beliau berkata Malaysia bertindak balas terhadap ancaman ini dengan membangun dan menyebarkan maklumat yang betul bagi menangkis naratif berunsur keganasan.

“Pada masa ini, usaha tersebut diterajui oleh dua pusat digital memerangi mesej melalui telekomunikasi iaitu di bawah Kementerian Luar Malaysia dan satu lagi di bawah Polis Diraja Malaysia, kedua-duanya ditubuhkan pada 2016,” kata Anifah.

Beliau berkata Malaysia percaya menangani penularan ideologi keganasan memerlukan strategi jangka panjang yang lebih luas apabila tindakan ketenteraan sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, punca keganasan itu perlu ditangani melalui pendekatan pelbagai serampang.

Anifah berkata bahawa langkah-langkah pencegahan, kewaspadaan, pendidikan, kesedaran orang ramai dan program deradikalisasi bersama dengan program pemulihan yang efektif semuanya perlu untuk mengekang ancaman ini.

Mengenai isu Palestin, beliau berkata Malaysia telah dan tetap komited sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin dan tidak pernah berganjak daripada prinsip dan usahanya dalam memperjuangkan isu tersebut.

“Justeru apabila Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan – kami mengambil kesempatan untuk bersuara tentang ketidakadilan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin,” kata beliau.

Anifah berkata Malaysia juga menyuarakan kebimbangan berat terhadap perkembangan baru-baru ini di rantau Timur Tengah dan berpendapat bahawa krisis yang berlarutan itu perlu diselesaikan segera antara negara-negara berkenaan.

Beliau berkata Malaysia terus mengekalkan dasar berkecuali dan kesederhanaan dalam isu ini dan menggesa semua pihak yang terlibat menjalankan usaha yang perlu bagi meredakan ketegangan.

Mengenai isu Rohingya, Anifah berkata pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten iaitu situasi di Rakhine tidak lagi menjadi konflik domestik.

“Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan Myanmar dan tidak berhasrat untuk mencampuri urusan hal ehwal negara itu,” kata beliau sambil menambah Malaysia bersedia untuk membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik yang berlarutan di Rakhine, lapor Bernama

Anifah berkata, pada masa ini, usaha Malaysia membantu etnik Rohingya tertumpu kepada menyediakan bantuan kemanusiaan termasuk hospital medan yang telah didirikan di Cox Bazaar di Bangladesh baru-baru ini sebagai bantuan perubatan kepada pelarian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *