Kenyataan Lim Guan Eng dan Exco P.Pinang Bercanggah Isu Pembayaran RM208 Juta

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang didakwa mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung pembayaran laporan kebolehlaksanaan (feasibility) bagi projek mega melibatkan terowong dasar laut dan tiga lebuhraya di negeri ini.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, mengikut pencerahan yang dibuat Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam, kerajaan negeri tidak membuat sebarang bayaran ke atas laporan kebolehlaksanaan bagi pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Tambahnya, pembayaran RM208 juta secara pertukaran tanah itu dibuat untuk laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tiga lebuhraya dan bukannya untuk laporan kebolehlaksanaan projek tersebut.

Chang Yeow berkata, walaubagaimanapun, dalam jawapan soalan bertulis dalam Sidang Dun pada 19 Mei 2017 oleh Exco Kerja Raya, Lim Hock Seng menyatakan, RM208 juta itu adalah hasil pemberian tanah kepada kontraktor sebagai bayaran bagi Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci bagi projek lebuhraya tersebut.

“Semalam (kelmarin) Guan Eng kata RM208 juta itu untuk laporan EIA tetapi jika kita lihat semula jawapan Hock Seng dalam Sidang Dun tahun lalu, lain pula. Hock Seng menyatakan bahawa RM208 juta itu adalah hasil pemberian milik tanah 1.49 hektar di Lot 702 dan 0.8 hektar di Lot 713 Bandar Tanjung Pinang kepada kontraktor, sebagai bayaran Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci tiga lebuhraya.

“Jadi, yang mana satu (kenyataan) yang betul? Satu kata bayar untuk laporan EIA dan satu lagi kata bukan. Ini amat mengelirukan, kita gesa kerajaan negeri atau Guan Eng sendiri jelaskan,” katanya kepada media tadi.

Kelmarin, Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan tiada pembayaran dibuat olehnya ke atas laporan kebolehlaksanaan bagi pembinaan terowong dasar laut di negeri ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *