Doktor Didenda Letak Tanda Nama Pada Hati Pesakit

LONDON – Seorang doktor bedah didenda lebih AS$13,000 (S$17,200) kerana meletakkan huruf-huruf atau tanda namanya (initials) pada hati dua orang pesakitnya.

Memetik Mcorp, tanda nama tersebut berukuran sebesar 4 sentimeter.

Dr Simon Bramhall yang mengaku salah turut diarahkan supaya melakukan kerja kemasyarakatan secara percuma selama 120 jam.

Dia menggunakan alat pembakar urat darah untuk membuat tanda namanya ke atas organ dua mangsanya itu pada Februari dan Ogos 2013.

Doktor bedah berusia 53 tahun itu sudahpun meletak jawatan dari Hospital Queen Elizabeth di Birmingham tiga tahun lalu selepas seorang doktor lain mengesan perbuatannya tersebut.

Pihak hospital bagaimanapun menegaskan perbuatan doktor itu tidak menjejas kejayaan pembedahan yang dilakukannya.

Malah para pesakit yang terjejas berpendapat apa yang dilakukan Dr Bramhall itu terlalu kecil kesannya jika dibandingkan dengan kejayaannya menyelamatkan nyawa mereka.

Namun, hakim menyifatkan perbuatan Dr Bramhall itu sebagai satu “kesombongan profesional yang mempunyai unsur perbuatan jenayah”.

Doktor itu kini bekerja di jabatan Khidmat Kesihatan Kebangsaan milik negara di Hertfordshire, utara London.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *