Siti Hargai Pengorbanan Ibu

“SELEPAS ini saya akan pikul tanggungjawab lain sebagai ibu. Bukan mudah saya tengok dan ia buatkan saya lebih hargai pengorbanan ibu yang melahirkan saya,” kata penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang makin berdebar menanti detik melahirkan anak sulung pada Mac ini.

Siti yang menyambut ulangtahun ke-39 hari ini akui sambutan tahun ini sangat bermakna dan istimewa apabila Allah makbulkan doanya menimang cahaya mata selepas 11 tahun berkawin.

Kegembiraan berganda buat Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59, atau Datuk K apabila bakal dikurniakan anak perempuan.

Sempena hari kelahirannya, Siti mengucapkan terima kasih kepada ibunya, Siti Salmah Bachik yang melahirkan.

“Setiap kali hari jadi, orang ingat tuan punya badan saja tetapi sebenarnya ibu yang bertarung nyawa melahirkan saya. Kalau tak ada ibu dan ayah, saya takkan ada di muka bumi ini.

“Saya juga sangat bersyukur pada usia 39 tahun, Allah berikan banyak keberkatan dan keistimewaan untuk saya. Saya akan sentiasa ingatkan diri untuk bersyukur kepada Allah atas apa yang dikurniakan kepada saya selama ini,” katanya.

Sempena sambutan hari jadi Siti juga, beberapa stesen radio tempatan memberi dedikasi istimewa buat Siti. Antaranya Hot FM, Kool FM, Era FM, Sinar FM, Suria FM, Gegar FM dan Best FM.

Lebih istimewa, Selasa lalu kru stesen radio Kool FM dan Hot FM milik Media Prima Bhd membuat kejutan dengan bertandang ke kediaman Siti bagi meraikan hari jadinya lebih awal, sebelum penyanyi itu bercuti ke Singapura.

Kata Siti, dia terharu dengan sambutan diberikan. Katanya, apabila berehat dan tidak aktif orang akan relak sikit dan hanya buat ucapan biasa saja.

“Sangat terharu dan tak sangka banyak stesen radio membuat penghargaan sempena hari jadi ini. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya penyanyi dan anak seni yang suka hiburkan masyarakat dan peminat. Namun Allah beri keistimewaan ini. Saya bersyukur sangat.

“Sempena hari jadi ini, doa saya paling utama diberikan kesihatan dan kesejahteraan untuk melahirkan zuriat Mac ini. Ini yang saya minta doa daripada sahabat dan peminat.

“Terima kasih juga kepada keluarga terutama suami yang sentiasa berikan sokongan kepada saya dalam saat-saat macam ini,” katanya.

Oktober lalu, Siti berkongsi berita hamil empat bulan dan mengakui menjalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ dalam usaha mendapatkan cahaya mata pertama hasil perkahwinan dengan suami.

Datuk K turut memiliki empat anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.-Hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *