Erra Fazira 
Percaya Pada Takdir

BANYAK hal yang berlaku di sekelilingnya sejak beberapa tahun lalu membabitkan peribadi tetapi beliau tetap teguh berdiri sebagai seorang wanita yang ampuh dalam gelanggang seni.

Wanita itu bernama Erra Fazira yang kerap ditunjal dengan soal peribadi membabitkan kekasih hati, penyanyi Shahir bermula dengan status hubungan mereka sehingga kepada beberapa hal kurang enak yang terjadi sejak kebelakangan ini.

Namun, sebagai seorang pelaku seni yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni dan faham benar tentang asam garam kehidupan seorang artis, beliau tidak mudah melatah.

Cuma, tanpa berselindung Erra menjelaskan, beliau tidak boleh lari daripada perasaan bosan kerana kerap ditanya soal peribadi. Bagi Erra, perkara itu (peribadi) tidak termasuk dalam ruang yang boleh dicampuri.

Hakikat itu diakui Erra sewaktu ditemui pada majlis sidang media pengumuman penyertaannya sebagai artis naungan syarikat pengurusan MindOrder Sdn. Bhd. di bawah anak syarikat MindOrder Management.

“Saya sudah aturkan perjalanan kerjaya selama lebih 20 tahun tanpa melibatkan hal peribadi.

Antara peribadi dan kerjaya, saya ada batas-batasnya,” ujar Erra tenang.

Penyertaan Primadona Filem Melayu itu menjadi ‘anak baharu’ syarikat tersebut berkuat kuasa pada awal bulan ini. Ia merupakan kali pertama beliau menyertai syarikat pengurusan selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.

Mengambil semangat tahun baharu yang masih segar, Erra, menyifatkan penyertaannya dalam syarikat itu adalah aturan strategi yang lebih kemas untuk kariernya.

Tidak pernah ada terma terlambat, bagi Erra, keputusan itu dilakukan kerana mahu kerjaya seninya lebih teratur bersama sebuah kumpulan yang profesional dalam mengendalikan jadual kerja merangkumi lakonan, iklan dan nyanyian.

Bagaimanapun, aktres berusia 44 tahun itu menepis dakwaan penyertaannya bersama MindOrder adalah disebabkan berlakunya ‘perbalahan’ dengan syarikat pengurusan terdahulu, InDigital Sdn. Bhd. yang membantunya dari segi projek karier.

“Sejujurnya, saya memang tiada masalah dengan mana-mana pihak. Sudah tentu saya sangat berterima kasih dan menghargai segala bentuk pertolongan daripada mereka selama ini.

“Selama berada dalam industri, saya tidak pernah ada masalah dengan sesiapa. Cuma sudah tiba masanya untuk mengorak langkah ke arah yang lebih baik memandangkan masing-masing sudah ada perancangan yang lebih teratur,” ujarnya.

Profesional
Namun, perbalahan yang terjadi bukan kerana soal karier, sebaliknya ada desas-desus yang mengatakan penyanyi Shahir menjadi punca kepada isu tersebut memandangkan penyanyi itu juga diuruskan syarikat sama.

Sedikit tegang pada awalnya, namun Erra bijak mengawal emosi tatkala disoal dengan dakwaan tersebut.

“Apa kena-mengena Shahir dalam soal karier saya? Segala keputusan yang dibuat membabitkan urusan kerjaya tidak ada kena-mengena dengan sesiapa pun kerana saya bersikap profesional.

“Jika kerana masalah peribadi saya membuatkan pihak di sana kurang senang, minta maaf kerana itu hal peribadi saya,” tegasnya yang mengakui masih berkawan dan berhubungan baik dengan pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu.

Menyedari beliau turut terheret dalam kontroversi Shahir sehingga berasakan dirinya seakan sudah seperti kaunter pertanyaan, dalam nada tenang, Erra mengatur kata.

Baginya, segala hal peribadi Shahir bukan menjadi tanggungjawabnya untuk memberi jawapan kerana beliau bukan seorang yang gemar mencampuri urusan dalaman seseorang.

Usia
Memulakan langkah karier bersama MindOrder pada bulan ini, Erra bagaimanapun belum boleh mendedahkan mengenai projek-projek akan datang yang telah diaturkan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, berita gembira yang disampaikan Erra buat peminatnya adalah beliau akan mengeluarkan single baharunya.

“Setakat ini memang sudah ada beberapa projek yang dibincangkan. Bagaimanapun, suka untuk dimaklumkan tahun ini saya akan muncul dengan single baharu,” katanya yang sudah hampir lima tahun tidak mempunyai single.

Biarpun wajahnya kini juga kurang menjadi sorotan media massa, hakikatnya karier seni Erra tidak pernah surut.

Ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran, 9, itu kini sibuk menjalani penggambaran drama Gerak Khas.

Memegang watak sebagai ASP Jeslina, Erra kembali bergabung dengan bekas heronya, Norman Hakim, Hisyam Hamid dan Salina Saibi.

Berbicara mengenai kemunculannya dalam layar lebar, Erra ternyata realitisik. Beliau mengambil faktor usianya saat ditanya mengenai tawaran menjadi heroin untuk sesebuah naskhah.

“Saya masih menerima tawaran berlakon filem, namun bukan sebagai teraju utama. Saya juga sedar, faktor usia barangkali memainkan peranan terhadap pemilihan watak yang diberi,” katanya yang baru selesai terlibat dengan filem Polis Evo 2.

Percaya takdir
Kembali mengasak Erra yang sudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal menghampiri usia empat tahun, Erra mengaku sudah terbit rasa bosan kerana terlalu kerap disoal tentang jodoh.

“Kalau perkara istimewa seperti perkahwinan, saya bukan jenis yang kedekut untuk berkongsi kepada rakan media. Setakat ini, jawapan saya masih sama jika ditanya tentang jodoh kerana ia bukan di bawah kawalan saya,” jelasnya.

Pun begitu, Erra tetap sedar dengan keprihatinan orang sekeliling yang beranggapan dirinya layak untuk mendapat pasangan yang jauh lebih baik daripada Shahir.

“Siapalah kita sebagai manusia untuk menentukan takdir seseorang sebab tidak melalui kehidupannya. Saya sendiri sedar ada antara rakan-rakan yang memberi nasihat supaya mencari yang lebih baik. Terima kasih untuk itu dan saya sangat menghargai keprihatinan semua.

“Cuma saya lebih memilih untuk percaya kepada takdir. Kalau orang tanya dari mana datangnya kesabaran dan mengapa saya bertahan selama ini, itu semua bantuan daripada Yang Maha Esa.

“Saya anggap ini adalah cabaran tetapi selebihnya serahkan kepada Tuhan yang merencanakan perjalanan hidup hamba-hamba-Nya. Sebab saya sendiri pun tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup saya di hujung nanti.

“Selagi diberi pinjam perasaan yang ada dalam hati ini, saya jalaninya dengan penuh keyakinan,” katanya yang mahu memberi lebih fokus kepada karier.

Tidak menjadikan kontroversi yang membabitkan penyanyi Shahir sebagai penyebab beliau bertukar pihak pengurusan, Primadona Filem Melayu, Erra Fazira mahu terus memandang ke hadapan dengan menjadikan tahun 2018 sebagai medan untuk lebih fokus kepada karier.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *