Video: Polis ‘Moonwalk’ Tarik Perhatian Pengguna Jalan Raya

NEW DELHI – Tugasnya sebagai polis trafik. Namun gerak-gerinya ala raja pop terkenal Amerika Syarkat, Michael Jackson yang sekali gus turut menarik perhatian orang ramai di jalan raya.

Ranjeet Singh membuat pengguna jalan tertoleh-toleh apabila beliau berjalan mengikut gaya ‘moonwalk’ di persimpangan yang sibuk, bagi mengelak beca dan lori di tengah Indore, India yang dihuni dua juta penduduk.

“Saya sudah menjadi peminat Michael Jackson selama bertahun-tahun dan meniru gaya ‘moonwalk’ itu untuk menghentikan trafik lebih 12 tahun lalu,” kata Ranjeet memberitahu agensi berita antarabangsa AFP.

“Pada awalnya orang ramai mungkin agak terkejut tetapi cara ini berkesan sepanjang beberapa tahun ini malah menjadi popular,” kata beliau yang kini menjadi fenomena apabila aksikanya turut tular dalam kalangan netizen.

“Tugas mengawal trafik di tengah-tengah pencemaran bunyi dan pengguna jalan raya yang cuai amat memenatkan tetapi ‘moonwalk’ yang saya lakukan membuatkan pengguna jalan raya untuk terhibur,” kongsi Ranjeet.

Beliau bahkan menjadi sensasi menerusi media sosial di seluruh dunia dengan hampir 50,000 orang yang mengikuti kegiatan hariannya terutama aksi tarian ketika bertugas di jalanan melalui laman Facebook.

Lelaki itu juga berkata jumlah kesalahan trafik di persimpangan beliau bertugas sudah kurang. Sebuah universiti di India bahkan meneliti cara itu untuk mengetahui sama ada ia menyumbang kepada pengurangan kesalahan trafik.

 

 

Jalan raya di India terkenal dengan kesesakan teruk. Para pemandu, yang terpaksa berdepan dengan trafik sesak dan lampu isyarat yang rosak, sering melepaskan kemarahan mereka ke atas polis yang mengawal keadaan.

Ranjeet malahan berkata sebahagian pemandu yang masih berusia muda di India juga terkorban akibat kecuaian mereka sendiri ketika memandu kenderaan di jalan raya dan situasi tersebut amat membimbangkan polis.

“Saya sudah mengendalikan lebih 40 mayat orang muda akibat kemalangan dalam tempoh beberapa tahun lalu dan saya berasa sedih. Saya hanya mahu anak-anak muda terus pastikan keselamatan dan mematuhi syarat.” katanya.

Rakan-rakan Ranjeet pada awalnya berasa kurang pasti apabila beliau menggunakan cara yang pernah dipopularkan oleh Michael Jackson untuk mengurus trafik. Namun mereka kini sudah boleh menerima cara unik berkenaan.

Malah sekarang, beliau sendiri sekarang mengajar ramai pegawai polis trafik yang lain untuk aksi ‘moonwalk’ sekali gus mewujudkan barisan pelapis untuk menghiburkan pengguna jalan raya terutama pemandu yang tertekan.

“Ibu bapa saya pun bangga dengan saya kerana melaksanakan tugas bersungguh-sungguh dan menggunakan cara yang inovatif iaitu melibatkan gaya ala Michael Jackson,” tambah Ranjeet.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *