Tular Video Remaja Palestin Tampar Askar Israel

Baitulmaqdis – Tentera Israel semalam menahan seorang remaja Palestin selepas videonya menampar askar rejim itu di Tebing Barat, tular di Internet.

Video itu yang dipercayai diambil Jumaat lalu menunjukkan dua remaja perempuan mendekati dua askar Israel sebelum menyerang, menendang dan menampar mereka sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.

Kejadian dipercayai berlaku berhampiran rumah seorang daripada remaja itu yang dikenali sebagai Ahed Tamimi, 17, di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat.

Semalam tentera Israel menyerbu rumah Ahed dan menahannya, kata bapanya, Bassem, selain turut merampas telefon bimbit, komputer dan peralatan elektronik lain.

“Mereka tidak menyatakan sebab anak saya ditahan,” kata Bassem.

Keluarga Ahed adalah aktivis yang kuat menentang penjajahan tentera rejim itu di Tebing Barat.

Sekeping gambar Ahed ketika kecil menggigit tangan askar yang cuba menangkap abangnya menjadi imej simbolik penentangan terhadap Israel.

Seorang ahli keluarganya, Mohammed dilaporkan dirawat di sebuah hospital selepas ditembak di kepala dengan peluru getah Jumaat lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *