Seronok Hidup Telanjang

Memilih untuk hidup dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang mungkin memberi reaksi negatif terhadap individu terbabit, namun bagi warga emas berusia 81 tahun, tindakan tersebut membuatkan dia begitu seronok dan berasa “bebas”.

Stuart Haywood, sudah 10 tahun memilih menjadi “lelaki bogel” kerana merasakan ia memberikan keseronokan kepadanya. Bagaimanapun, satu-satunya benda yang dipakai pada badannya adalah stoking, lapor MD.

Dan, warga emas itu ada sebab tersendiri mengapa dia hanya memakai stoking, tatkala anggota tubuh badannya yang lain terdedah.

“Saya perlukan tempat untuk menyimpan telefon bimbit saya. Apabila saya keluar menikmati keindahan alam semula jadi, saya meletakkan ia di bawah agar selamat,” katanya memetik metro.uk.

Portal tersebut melaporkan Stuart akan sentiasa berbogel termasuk ketika bercuti, namun di United Kingdom, warga emas itu hanya akan telanjang bulat di satu tempat sahaja iatu di sebuah taman terpencil yang terletak di Derbyshire.

Stuart menjelaskan dia tidak bertelanjang di rumah sendiri.

“Wanita, (iaitu) pemilik taman itu agak gembira bila saya pergi dan meneroka tamannya dalam keadaan berbogel.

“Wanita itu tahu betapa saya sukakan bunga ros dan dia mempunyai ruang luar yang cukup indah. Saya telefon dia dan memberitahu yang saya akan datang, dan dia tiada masalah tentang itu.

“Ia memberikan saya kesempatan untuk menikmati dua hobi dalam satu masa – berkebun dan telanjang,” kata pesara akauntan itu.

Stuart menambah dia berasa lebih baik sejak memutuskan untuk menjadi “lelaki bogel”.

“Ia sangat menaikkan semangat. Apabila saya berada di luar dan saya tidak memakai apa-apa pakaian, saya mula berasa sangat baik.

“Pada mulanya, saya fikir ia adalah kerana ‘semuanya’ bebas – jika anda tahu apa yang saya maksudkan. Tetapi sekarang, saya fikir ia adalah kerana saya menyerap begitu banyak vitamin D,” katanya.

Dia mengambil keputusan untuk menjadi “lelaki bogel” secara ‘tetap’ selepas menyertai satu kem berbogel, di mana dakwa Stuart, semua peserta yang menyertai kem tersebut juga merasai apa yang dirasainya.

“Kami rasa bertenaga setiap kali kami melangkah. Satu lagi kelebihan adalah, perjalanan kami juga sangat ringan,” ujarnya.

Stuart yang sudah berkahwin selama 57 tahun bersama isterinya bernama Rhina juga telah memperbaharui ikrar perkahwinan mereka dalam keadaan telanjang pada 2015.

Namun, Stuart menjelaskan isterinya masih lengkap berpakaian.

“Isteri saya tetap berpakaian lengkap, tapi itu OK. Dia kelihatan sangat menawan.

“Tetapi bagi saya, saya suka fakta bahawa saya berasa bebas dan tanpa apa-apa pakaian. Sebagai seorang lelaki, ia sangat baik untuk menikmati tahap kebebasan itu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *