Remaja Dituduh Bunuh Along

SUNGAI PETANI – Seorang penjual ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pengutip hutang atau along, dua minggu lalu.

Muhammad Amirul Khairol Nizam, 19, dari Taman Arked, di sini, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd Latif.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Amirul didakwa membunuh Liu Chee Wei, 25, di kawasan Taman Arked, di sini, antara jam 2.30 hingga 3.30 petang, pada 4 Disember 2017, lapor BH.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya, manakala tertuduh yang berpakaian lokap ungu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, manakala penyerahan laporan bedah siasat dan kimia dijadualkan pada 21 Februari tahun depan.

BH sebelum ini melaporkan seorang penjual ikan yang tertekan apabila gagal menjelaskan hutangnya sebanyak RM2,000 bertindak menikam dada kiri seorang along sehingga mati pada 4 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata suspek yang bekerja sebagai penjual ikan berhutang dengan mangsa dan perlu membayar RM26 setiap hari.

Pada hari kejadian, berlaku pergelutan di dalam kereta antara mangsa yang juga pemungut hutang dengan suspek ketika berbincang mengenai pembayaran hutang sebelum mangsa ditikam.

Suspek kemudian menyerah diri, dua hari selepas kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *