Bapa Pelajar Nafi Bercadang Untuk Saman Cikgu Azizan

BANDAR BARU NILAI – Bapa kepada murid dalam kes Cikgu Azizan, menafikan keluarganya bercadang untuk menyaman guru berkenaan.

Lelaki berusia 50 tahun itu yang tidak mahu dikenali, berkata laporan mengenai tindakan saman itu mungkin berpunca daripada kekeliruan ketika isterinya ditemui wartawan.

“Sebenarnya kami amat tertekan dengan keadaan yang berlaku dan tumpuan ketika ini adalah pulih daripada trauma akibat tekanan yang keluarga saya hadapi.

“Jadi tindakan saman sivil bukan sebahagian daripada perkara yang mahu kami laksanakan buat masa ini,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Hari ini, Mahkamah Majistret Seremban membebas tanpa melepaskan Cikgu Azizan atau nama sebenarnya, Azizan Manap, 44, daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan itu.

Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak di sini, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di hadapan tapak perhimpunan sekolah terbabit pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Azizan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guru berkenaan yang diwakili peguam, Francis Pereira, sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 31 Oktober lalu sebelum perbicaraan ditetapkan bermula hari ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *