Amiridzwan Taj Perkuat TRW

Bekas pertahanan The Red Warriors musim 2015, Amiridzwan Taj Tajuddin kembali memperkuatkan cabaran pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Amiridzwan Taj berkata, dia sudah sedia pamer aksi terbaik bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama setelah tidak lagi dibayangi kecederaan lampau, lapor sinar

“Perasaan saya sama jika dibandingkan dua tahun lalu, tetap teruja kerana dapat menabur bakti bersama pasukan negeri kelahiran sendiri. Saya akan berikan komitmen 100 peratus untuk Kelantan.

“Saya akui ramai pemain muda dalam pasukan ini berkualiti cuma kurang dari segi pengalaman sahaja. Apa pun, saya sudah sedia beri yang terbaik dalam latihan dan selebihnya biarlah jurulatih tentukan kedudukan saya,” katanya kepada Sinar.

Tonggak pertahanan berusia 31 tahun itu semalam, menamatkan teka-teki setelah menjalani latihan bersama Kelantan seminggu lalu dengan menandatangani kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Amiridzwan Taj mempunyai pengalaman luas beraksi bersama UiTM FC (2008-2011), ATM (2012-2015), Kelantan (2015) kemudian menyertai Terengganu (2016) tetapi digugurkan akibat kecederaan sebelum liga bermula dan PKNS FC, musim lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman mengesahkan, pihaknya telah mengikat kontrak Amiridzwan Taj selepas bekas pemain kebangsaan itu lulus ujian.

“Kita puas hati dengan prestasi Taj (Amiridzwan Taj) dan atas faktor itu Kafa bersetuju menawarkan kontrak kepada dia untuk bersama Kelantan mengharungi saingan musim depan.

“Kemasukan Taj tepat pada masanya dan dia akan membentuk gandingan mantap dengan Cassio (de Jesus) selain Mohd Farisham (Ismail) di posisi pertahanan tengah pasukan ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *