Polis Malaysia dan China Berjaya Tumpaskan Sindiket Penipuan

KUALA LUMPUR – Polis Malaysia dan China berjaya melumpuhkan sindiket penipuan yang menyebabkan mangsa di kedua-dua negara mengalami kerugian sekitar RM13 juta.

“Kami melaksanakan beberapa operasi secara serentak pada 12 Disember bersama-sama dengan rakan sejawat di China dan berjaya menahan seramai 140 suspek di Malaysia dan China,” kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Amar Singh.

Kata beliau, ‘scammer’ akan menghubungi mangsa di Malaysia dan China serta mendakwa mereka buat panggilan bagi pihak bank.

Kemudian, mereka akan menakut-nakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa akaun mereka terlibat dalam siasatan jenayah.

Mangsa yang cemas akan bertindak mengikut arahan ‘scammer’ dan memindahkan wang ke sebuah akaun bank tanpa menyedari ia satu penipuan.

“Mereka akan menggunakan VoIP (Voice over Internet Protocol) untuk menghubungi mangsa yang kebanyakannya warga negara China,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa rakyat Malaysia juga ditipu.

Amar berkata, seramai 65 rakyat China yang ditahan di Malaysia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong dan dipercayai sudah beroperasi di negara ini selama enam bulan.

“Mereka menjalankan operasi dari kediaman di kawasan kejiranan mewah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Selasa.

Semua suspek direman sehingga 26 Disember dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa China. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *