Kes Tikam Dan Gilis Di JB Pertembungan 2 Kongsi Gelap

JOHOR BAHRU – Kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini malam semalam dipercayai melibatkan pertembungan dua kumpulan kongsi gelap.

Punca mangsa ditikam dan dilanggar sebelum digilis oleh kereta empat suspek itu berkemungkinan tercetus daripada perselisihan faham antara dua geng berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang berusia 44 tahun itu merupakan ahli keluarga daripada sebuah kumpulan kongsi gelap di bandar raya ini yang beralamat di Taman Perling dekat sini.

Bagaimanapun, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya telah pun mengenal pasti empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Malah beliau turut menegaskan, polis negeri telah menggerakkan usaha giat bagi memburu, sekali gus menahan dalang yang terlibat.

“Selain itu, kenderaan jenis BMW 520i yang dinaiki empat suspek menggunakan nombor pendaftaran WB79L adalah palsu.

“Pemilik asal nombor pendaftaran itu sudah dikesan dan setelah ditemubual, dia didapati tiada kaitan dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor utusan.

Mengulas lanjut berhubung kes berkenaan, Mohd. Khalil berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mendapati mangsa meninggal dunia akibat tikaman di bahagian dada.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat terhadap kejadian ini diharap menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Polis Johor di talian 07-2212999 segera,” katanya.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam, mangsa yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna putih bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang didakwa isteri mangsa singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.

Secara tiba-tiba, datang sebuah kereta BMW dinaiki empat suspek cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka sebelum berlaku pergelutan dan mangsa kemudiannya ditikam di bahagian dada.

Mangsa berjaya meloloskan diri dan suspek kemudian bertindak melanggarnya sebelum mengundurkan kereta lalu menggilis sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Azman Ayob meminta semua pihak agar tidak menularkan dakwaan empat suspek itu sudah ditahan kerana hanya akan mengganggu siasatan polis.

“Kes ini masih dalam siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dilakukan. Maklumat telah ada tangkapan tidak tepat. Kami minta orang ramai henti tularkan maklumat yang tidak tepat kerana boleh mengganggu siasatan,” ka­tanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *