Wow! Di Gimnasium Ini Hanya Perlu Datang Untuk Tidur ?

LONDON – Mimpi anda sudah menjadi nyata! Kini, tidur sejenak waktu tengah hari juga dianggap sebagai senaman. Malah, bentuk riadah ringkas itu mempunyai nama khas iaitu Napercise.

Di sebuah gimnasium di bandar Sidcup dekat sini, pelanggan tidak perlu angkat besi berat atau lari di mesin khas. Sebaliknya, mereka hanya datang pada awal petang terus pergi ke katil masing-masing dan tidur selama 45 minit.

Ia menyerupai amalan sunah Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu disebut qailulah bahkan dijadikan rutin umat Islam di Andalusia (kini Sepanyol) sehingga timbul istilah popular dalam bahasa negara Eropah itu sebagai siesta.

Namun menurut syarikat kesihatan tersebut, David Lloyd Clubs, sesi senaman yang dilaksanakannya itu disasarkan untuk para ibu bapa bagi “mencergaskan minda, memperbaiki ‘angin’ dalam tubuh dan juga membakar kalori”.

Sekiranya berhasil, syarikat tempatan tersebut berhasrat untuk memperluaskan pula idea riadah aneh berkenaan kepada cawangan-cawangan mereka di merata Britain dan kemudian beberapa buah negara di seluruh dunia.

“Berdasarkan kajian kami, 86 peratus daripada golongan ibu bapa mengaku bahawa mereka mengalami keletihan iaitu angka sangat tinggi dan mempertimbangkan peranan tidur malam yang baik dalam kesejahteraan mental.

“Ini juga menambah baik fizikal badan,” kata jurucakap syarikat itu kepada Huffington Post. Pakar tidur, Kathryn Pinkham pula memberitahu The Independent bahawa sesi senaman sedemikian boleh mendatangkan kesan positif.

“Selain risiko tinggi mengalami keresahan atau tekanan akibat kurang tidur, kita pula tidak cukup tenaga untuk bersenam dengan lebih kerap dan kurang panduan untuk membuat pilihan makanan yang baik.

“Ia sekali gus membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikal dalam jangka panjang,” katanya. Bagaimanapun, Profesor Jim Horne, pakar sains neurologi pula berpendapat sebaliknya dalam wawancara dengan Telegraph.

Beliau berkata: “Tidur sekejap selama 45 minit terlalu lama. Ia memanfaatkan tetapi hanya apabila antara 15 hingga 20 minit. Selepas itu, badan mula mendalami tidur dan apabila bangun, anda rasa terhuyung-hayang dan berat.”

Mungkin, persoalannya adalah adakah anda sanggup bayar untuk menghadiri sebuah sesi senaman hanya untuk tidur selama 45 minit? Satu lagi persoalan ialah, adakah itu sejenis senamanan?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *