Penjaga Gol AC Milan Menangis Dihalau Penyokong Sendiri

MILAN – Airmata penjaga gol muda AC Milan gugur walaupun dia berjaya mempertahankan gawang dan membantu pasukannya mengatasi Verona 3 -0.

Semuanya gara-gara segelintir peminat yang menaikkan kain rentang besar yang menghalau dia dari kelab berkenaan.

Lantas, Gianluigi Donnarumma yang baru berusia 18 tahun itu menitiskan air mata selepas perlawanan tamat baru-baru ini.

Lebih menyayat hati, dia terpaksa ditenangkan rakan sepasukannya yang juga pemain pertahanan, Leonardo Bonucci.

Kain rentang sepanjang lebih 30 meter itu dinaikkan penyokong AC Milan sebelum sepak mula antara kelab itu dengan Verona bermula.

Kedua-dua pasukan bertanding di peringkat kalah mati Piala Coppa Italia.

Peminat dikatakan tidak senang dengan sikap Donnarumma yang belum lagi menurunkan tandatangan untuk melanjutkan kontraknya bersama kelab gergasi berkenaan.

Ini kerana terdapat spekulasi Donnarumma meminta ejennya cuba mengintai peluang untuk bermain di luar San Siro pada Januari depan.

Secara umum kain rentang itu bertulis: “Tak bermoral, 5 juta setahun tapi jadi parasit? Sekarang berambus, tak boleh sabar dah!” – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *