Pemuda Umno Bantah Pelaksanaan IMAMS

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO membantah pelaksanaan Integrated Manasik Monitoring System atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) yang dikuatkuasakan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bermula semalam.

Exconya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pihaknya memahami keputusan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah yang semakin berleluasa tetapi IMAMS bukan kaedah yang terbaik.

“Benar, sejak beberapa tahun ini kita kerap mendengar berita jemaah yang hendak mengerjakan umrah ditipu. Tetapi kenapa diwujudkan IMAMS?

“Sepatutnya Tabung Haji (TH) yang diberi tanggungjawab tersebut, bukannya kepada syarikat swasta yang dikuasai bukan Islam menguruskan IMAMS yang diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 Oktober lalu,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, IMAMS ini bukan percuma, malah mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10 selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 (insurans) kepada setiap umat Islam yang hendak mengerjakan umrah.

“Berapa banyak untung yang masuk ke dalam syarikat tersebut?

“Transformasi jenis apakah yang cuba dilakukan oleh kementerian ini kerana Pemuda UMNO yakin ia hanya akan mengundang kemarahan rakyat kepada kerajaan akibat penambahan kos mengerjakan umrah.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak bijak malah langsung tidak cerdik!,”tulis kenyataan itu lagi.

Tambahnya, banyak mekanisme lain yang boleh difikirkan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah ini tetapi bukanlah dengan kaedah yang hanya menimbulkan polemik yang lansung tak menguntungkan malah membebankan.

“Tidak masuk akal hal umrah diberikan kepada syarikat swasta yang diterajui oleh bukan Islam.

“Pemuda UMNO turut kecewa apabila Tabung Haji langsung tidak membantah, menentang dan tidak bersuara berkenaan pelaksanaan IMAMS, menunjukkan pengurusan tertinggi TH langsung tidak peka dengan maslahah yang berlaku ini,”katanya.

Menurutnya lagi, apabila timbul isu sebegini sudah tentu menimbulkan persepsi di kalangan rakyat khususnya orang Islam bahawa TH tidak cekap sehingga ada syarikat yang diterajuj oleh bukan Islam bijak merebut peluang dalam hal ibadah orang islam.

Sehubungan dengan itu, pihaknya mendesak kerajaan agar menimbangkan semula pelaksanaan IMAMS dan diganti dengan mekanisme lain yang lebih sesuai.

“Pengendali atau penganjur pakej umrah juga disaran agar menolak sistem ini untuk membantu jemaah mengerjakan umrah.

“Kerajaan perlu buka mata. Ini bukan masalah nak menang PRU14 tetapi kelemahan dan tidak cerdik kementerian berkaitan serta Tabung Haji yang diamanahkan untuk menjaga hak orang Islam,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *