Jenazah Isteri KPN Selamat Dikebumikan

IPOH – Jenazah Puan Sri Azizah Hamdi,  isteri Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat pada Sabtu.

Jenazah Azizah, 58, dikebumikan pada 10.30 pagi tadi di sebelah pusara anak lelakinya yang meninggal pada 2007.

Selain waris serta sanak saudara, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis serta penduduk setempat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di pada majlis pengebumiannya.

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di rumah ibunya di sini pada 1 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat kira-kira 8.30 pagi untuk disembahyangkan.

Allahyarham Azizah meninggal dunia pada 7.02 malam pada Jumaat di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat kanser.

Sementara itu, Mohamad Fuzi dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis DiRaja Malaysia dan pihak yang membantu melancarkan proses pengebumian isterinya.

“Alhamdulilah, segala urusan pengebumian Allahyarhamah telah dipermudahkan oleh Allah SWT.

”Setinggi terima kasih juga kepada semua pihak yang mengirimkan ucapan belasungkawa dan bersama di saat kami kehilangan orang tersayang,” kata Mohamad Fuzi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *