Aaron Aziz, Farid Kamil Bergelar Datuk

KUANTAN – Dua pelakon terkenal, Aaron Aziz dan Farid Kamil Zahari kini bergelar Datuk selepas dikalungkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar Pekan, dekat sini, petang tadi, lapor Bh.

Farid Kamil Zahari yang juga Penerbit Filem FKX Sdn Bhd dan Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz adalah antara 167 penerima darjah kebesaran dan pingat daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Isteri Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Anggraini Sentiyaki mengetuai senarai penerima apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri.

Anggraini yang juga Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Putrajaya adalah antara 21 penerima SSAP termasuk Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Shamsulbahri Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Johari Hussain.

Turut menerima SSAP, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal; Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz; Pengarah Urusan Wirajaya Tuah Sdn Bhd, Datuk Azman Ismail; Pengarah Kotamas Development (M) Sdn Bhd, Datuk Wong Haw Ran; Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman; Pengarah Urusan Kharisma Wira Sdn Bhd, Datuk Azri Murad; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Darwis Abd Razak dan Pengurus Singaport Technologies Engineering Pte Ltd; Lim Seng Hock.

Ahli Majlis Mesyuarat Kejaraan Negeri Pahang (EXCO), Datuk Seri Abu Bakar Harun, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad selepas menerima Pingat Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar. – Foto Muhd Asyraf

Sementara itu, lima individu menerima Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera ialah Pengarah Urusan APEX Capacity Sdn Bhd, Tengku Datuk Yusof Tengku Zainal Karib; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya (M) Datuk Mohd Taha Ibrahim; Wakil Peribadi Anggota Parlimen Pekan, Datuk Zainal Abidin Pa’wan dan Pegawai Khas Perdana Menteri; Datuk Mohd Aripin Daud.

Seramai 12 individu menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin; Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari; Timbalan Ketua Pengarah Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Paddy Abd Halim; Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Zamyn Zuki Mohd Zuki.

Sementara itu, 78 individu pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk antaranya Pengarah KGSS Venture Holdings Sdn Bhd, Tengku Ferozdin Tengku Abdul Rahim; Ketua Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan, Datuk Mohd Nasir Yusoff; Ahli Dewan Negara, Senator Zahari Sarip; Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan, Profesor Dr Nasehir Khan E M Yahya.

Pengarah Hubungan Antarabangsa (Bahagian Penyelidikan) Jabatan Perdana Menteri, Norzuhdy Mohammad Nordin; bekas Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Mohd Zulkifli Mohammed; Pengarah Urusan Brilliant Star Construction (M) Sdn Bhd, Farah Zarina Johari Faisal Stephen; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Sawalludin Ahmad; Pengarah Bahagian Pemindahan Antarabangsa Bantuan Jabatan Penjara Malaysia, Mohd Zawawi Ab Rahim.

Penerima lain ialah Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Masrizal Muhammad; Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Services Sdn Bhd, Saiful Bahri Baharuddin; Ketua Unit Kardiologi Pusat Jantung dan Paru-paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Oteh Maskon dan Ketua Jabatan Pakar Perunding Kanan Neurosurgeri Hospital Sungai Buloh, Dr Azmin Kass Rosman.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, SAC Abdul Aziz Majid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor, SAC Azman Ayob; Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Pahang, Mohd Basri Abdul Manaf; Ketua Eksekutif MAFA Holdings Sdn Bhd, Dr Mohd Faudzi Musa; Ketua Eksekutif Excel Force MSC Bhd, Mohd Fauzi Yaakub; Setiausaha UMNO Bahagian Paya Besar, Salihudin Ishak.

Bendahari UMNO Bahagian Temerloh, Mohd Yusop Nong; Pengarah Urusan Kurnia Industries Enterprise, Roslan Muhamad; Pengarah Urusan Premium Proaktif Sdn Bhd, Mohd Kamarul Haneff Yusop dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar, Safariah Awang Ngah.

Selain itu, enam penerima darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), lapan penerima Setia Mahkota Pahang (SMP), Ahli Mahkota Pahang (AMP) 20 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) enam penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 13 individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *