Wanita Mahu Tunai Haji Guna Wang Tuntutan Palsu

KUALA TERENGGANU ― “Tertuduh tekad melakukan jenayah ini dan beliau sanggup memasukkan sejumlah wang haram sehingga RM7,400 ke dalam akaun Tabung Haji milik anaknya sedangkan perbuatan itu menyimpang dalam Islam.”

Demikian hujah Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah ketika prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hingga mengejutkan mereka yang berada dalam mahkamah dan menurut Amer, tertuduh, Noormazida Mukhtar, 28 mempunyai hasrat menggunakan wang tersebut untuk menunaikan Haji.

Noormazida, bekas pembantu tadbir Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam dihukum penjara enam tahun dan denda RM1,075,000 setelah mengaku bersalah atas enam pertuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan telur dan susu berjumlah RM211,646.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Noormazida didakwa melakukan empat pertuduhan berkaitan pembekalan telur dan dua pertuduhan berkaitan pembekalan susu dan didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dituduh bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengemukakan empat dokumen tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan berjumlah RM113, 066 bagi pembekalan telur ke Jabatan Dietetik dan Sajian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, walhal pembekalan tersebut sebenarnya tidak dilakukan.

Ia didakwa dilakukan pada Februari dan Jun lalu, yang mana suaminya Mohd Fikri Izani, 26, adalah Pengurus Syarikat KAB Adil Resources.

Tertuduh juga didakwa telah mengemukakan dua dokumen tuntutan palsu pada bulan Jun dan Julai lalu melalui Pesanan Kerajaan, masing-masing berjumlah RM49,290 bagi pembekalan susu ke Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ, walhal pembekalan tersebut sebenarnya tidak dilakukan.

Amer yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada penjawat awam dan masyarakat.

Ketika rayuan, peguam Mohd Kamaruzaman A. Wahab yang mewakili Noormazida merayu agar anak guamnya tidak dipenjarakan dalam tempoh yang panjang kerana mempunyai anak yang masih kecil iaitu berusia dua tahun dan sembilan tahun.

Berdasarkan fakta kes, Noormazida didapati mempunyai akses kepada sistem kewangan HSNZ dan telah menyediakan projek kepada syarikat suaminya sedangkan pembekal telur dan susu sebenar yang mempunyai perjanjian dengan hospital adalah syarikat Aliasrani Enterprise.

Beliau meluluskan sendiri projek tersebut menggunakan akses milik pegawai lain serta bertindak memalsukan beberapa salinan surat.

Sementara itu, Mohd Fikri yang telah didakwa atas pertuduhan yang sama bersama-sama Noormazida sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah setelah pihak pendakwaan bersetuju menarik balik pertuduhan.

Mohd Fikri mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan pada 16 November lalu.

Menerusi prosiding yang sama Hakim Mohamad Haldar turut membenarkan aset milik pasangan suami isteri itu disita, berjumlah RM149,877 melibatkan wang simpanan, barang kemas, motosikal dan rumah yang sedang dalam pembinaan. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *