Wanita Bunuh Suami, Kekasih Ambil Identiti Suami

SEORANG wanita di Telangana, India, membunuh suaminya dan kemudian ‘mencederakan’ muka kekasihnya dengan asid sebelum memberitahu keluarga mentuanya bahawa ‘suaminya’ cedera akibat diserang sekumpulan lelaki.

Wanita itu, Swathi, 28, merancang pembunuhan suaminya, Sudhakar Reddy, 32, dengan kekasihnya, Rajesh, dan selepas itu mereka akan mencuri identiti Sudhakar untuk digunakan Rajesh yang juga bersetuju melakukan pembedahan plastik.

Rancangan jahat itu seperti filem Face Off pada 1997 lakonan John Travolta dan Nicholas Cage.

Malah, menurut polis, pasangan itu mungkin mendapat ilham daripada filem India, Yevadu (Siapa – 2014) yang seorang watak menjalani pembedahan plastik bagi mencuri identiti lelaki lain.

Menurut laporan Gulf News, Deputi Superintendan A Lakshminarayana, berkata pasangan itu sudah tujuh tahun berkahwin dan wanita beranak dua itu menjalin hubungan dengan Rajesh dua tahun lalu.

Menurut Indian Express, pada 28 November lalu, Swathi, seorang jururawat menyuntik Sudhakar dengan pelali dan selepas suaminya pengsan, dia dan Rajesh memukulnya dengan besi hingga mati. Mereka membawa mayat mangsa ke dalam hutan dan dibakar.

Dua hari kemudian, Swathi mencederakan muka serta tubuh Rajesh menggunakan asid dengan kerelaan lelaki itu dan memberitahu keluarga mentuanya bahawa anak mereka diserang dengan asid.

Keluarga Sudhakar yang percaya dengan penipuan itu membawa Rajesh ke sebuah hospital di Hyderabad sebelum membuat laporan polis.

Namun, mereka kemudian mula curiga selepas Rajesh enggan makan sup kambing kerana dia hanya makan sayuran sedangkan sup kambing adalah kegemaran anak mereka, Sudhakar.

Polis membuka kembali siasatan dan selepas memeriksa cap jarinya, menyedari Rajesh bukannya Sudhakar lalu menahannya bersama Swathi.

Mereka mengakui membunuh Sudhakar dan polis menemui mayat mangsa yang terbakar teruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *