Suami Rancang Culik Diri Sendiri

KOTA BHARU – Seorang suami, Hilman Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu isterinya kerana merancang penculikan diri sendiri pada Oktober lalu.

Hilman, 34, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan di sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli, lapor Kosmo.

Dia didakwa menipu isterinya, Siti Nur Sahara Saari, 30, dengan memperdayakan wanita itu untuk mempercayai bahawa dia telah diculik sehingga mendorong mangsa membuat laporan polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Cepor, Binjai di sini kira-kira pukul 2.40 pagi pada 16 Oktober lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Shahirun Azri Mohd. Nordin manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *