SPRM Tidak Cukup Bukti Dakwa Annuar Kes Taja Bola Kelantan

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihak pendakwa raya memutuskan untuk tidak mendakwa bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihak pendakwa raya membuat keputusan tersebut selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihaknya, lapor Bernama.

“Setelah diteliti, pihak pendakwa raya memutuskan alasan keterangan-keterangan yang diambil serta bukti-bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwa Tan Sri Annuar Musa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Januari lepas, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendakwa penyaluran wang Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada pasukan TRW.

Tersentap dengan dakwaan TMJ itu, Annuar, yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), menafikan tuduhan kononnya beliau menggunakan wang Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan UniKL untuk menaja pasukan TRW.

Justeru, pada 3 Februari lalu, Annuar, yang juga ketua penerangan Umno, hadir di pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *