Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah Turun Kepada 1,617 Orang

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut, sehingga 12 tengah hari ini menurun kepada 1,617 orang daripada 679 keluarga berbanding 1,685 orang daripada 719 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berkata lima PPS masih beroperasi di Daerah Kota Belud iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 menempatkan 485 mangsa daripada 202 keluarga dan Dewan Masyarakat Tun Said 406 orang (201 keluarga).

“Seramai 309 orang (90 keluarga) lagi ditempatkan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 176 orang (75 keluarga) di Dewan SMK Agama Tun Said,” kata sekretariat itu.

Menurut kenyataan itu, pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukan Botung menempatkan 152 mangsa daripada 76 keluarga.

Sementara itu, di Daerah Kecil Membakut, dalam kawasan Parlimen Kimanis, pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Membakut kini menempatkan 89 orang mangsa daripada 35 keluarga. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *