Bank Dunia Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Tahun Ini Kepada 5.8%

KUALA LUMPUR – Bank Dunia meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 5.8 peratus pada tahun ini berbanding 5.2 peratus sebelum ini.

Semakan itu dibuat selepas mengambil kira pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun ini yang dipacu oleh pengukuhan permintaan domestik, pasaran buruh yang semakin baik, pertumbuhan gaji dan permintaan luaran bagi produk pembuatan dan eksport komoditi.

Bank Dunia dalam kenyataannya sempena pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor berkata, perbelanjaan modal juga meningkat disokong oleh pelaburan tinggi swasta dan awam.

Menurutnya, pengembangan dalam eksport negara berterusan pada separuh pertama tahun 2018, meskipun lebih rendah.

Pengarah Bank Dunia bagi Malaysia, Thailand dan Kerjasama Serantau, Ulrich Zachau berkata, Malaysia menyaksikan perkembangan dalam tempoh 20 tahun dengan polisi-polisi yang baik yang diguna pakai sejak Krisis Kewangan Asia.

“Krisis kewangan Asia 1997-98 merupakan titik perubahan utama bagi dasar pengurusan dan kewangan makroekonomi di Malaysia.

“Ia mencetuskan siri pembaharuan makro kewangan mendalam dalam pembaharuan di Malaysia, yang mengubah sistem kewangan negara menjadi lebih berdaya tahan, kepelbagaian dan baik selepas 20 tahun kemudian,” kata Bank Dunia.

Menurutnya, semasa Krisis Kewangan Asia, Malaysia menonjol di rantau ini sebagai satu-satunya negara yang tidak meminta bantuanTabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dasar Malaysia yang memperkenalkan kawalan modal terpilih telah dikritik oleh komuniti kewangan antarabangsa namunpi langkah itu mengurangkan krisis kredit yang mengakibatkan muflis dan mengurangkan kos penstrukturan semula sektor kewangan dan modal semula.

Ekonomi kembali pulih selepas krisis, didorong oleh dinamisme yang dipulihkan sektor pembuatan eksport Malaysia.

Bank Dunia berkata, ekonomi negara diramal berkembang pada 5.2 peratus pada tahun depan.

Zachau menambah, kesejahteraan ekonomi negara yang semakin meningkat mewujudkan peluang untuk pembaharuan struktur yang lebih mendalam.

Ia termasuk langkah-langkah untuk meningkatkan produktiviti seperti meningkatkan persaingan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan dan menangani kekurangan kemahiran kritikal.

“Walaupun Malaysia akan mencapai matlamat negara pendapatan tinggi antara tahun 2020 dan 2025, majoriti rakyat memperoleh kurang daripada pendapatan purata,” kata Bank Dunia. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *