Wendy Sah Gagal Ujian Doping, Pingat Emas KL2017 Ditarik Balik

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) semalam mengumumkan bahawa tiga atlet termasuk pemenang pingat emas acara terjun, Wendy Ng Yan Yee gagal ujian doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Selain Wendy, dua atlet Thailand – Nurisan Loseng (silat) dan Benjaporn Sriphanomthorn (renang) – juga gagal dalam ujian Sampel B yang dilaksanakan baru-baru ini.

Presiden SEAGF, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, kemenangan mereka dan pingat yang diperoleh ketiga-tiga atlet itu akan ditarik balik.

“Mereka akan dibatalkan dalam semua acara dan pingat akan diambil balik daripada mereka. Jika mereka menang emas, maka pemenang pingat perak akan di­umumkan sebagai juara dan pingat emas akan diberikan kepadanya,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Wendy akan dilucutkan daripada pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu dan 3m papan anjal seirama bersama Nur Dhabitah Sabri di KL2017.

Bagi acara 3m papan anjal individu wanita, Nur Dhabitah memperoleh pi­ngat emas selepas mendapat tempat ke­dua dalam kategori itu, manakala dalam acara 3m papan anjal seirama, pingat emas menjadi milik gandingan penerjun Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan dan Fong Kay Yian.

Sementara Nurisan yang membantu pasukannya memperoleh emas dalam seni berpasukan wanita terpaksa memberi laluan kepada pemenang pingat perak dari Vietnam untuk memenangi pingat emas itu.

Benjaporn juga terpaksa melepaskan dua pingat perak masing-masing dimenanginya dalam acara 10km renang perairan terbuka dan acara 4×200 berganti-ganti berpasukan.

Perenang Singapura Chantal Liew dianugerahkan pingat perak itu bagi acara 10km renang perairan terbuka, manakala pasukan renang berganti-ganti Filipina mendapat perak dalam acara 4×200 itu.

Ketiga-tiga atlet didapati positif de­ngan bahan terlarang, sibutramine oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) di makmalnya di New Delhi, India pada 11 Oktober lepas.

Sibutramine adalah pembantut selera yang selalunya terdapat dalam produk pelangsing badan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *