Mahkamah Tolak Rayuan Mahathir Lucut Hak Kelayakan Pengerusi dan Anggota RCI Forex

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad gagal dalam rayuannya bagi mencabar kelayakan pengerusi dan anggota Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh, sebulat suara menolak rayuan Dr Mahathir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran bagi semakan kehakiman untuk melucutkan hak kelayakan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan ahli panel, Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan Dr Mahathir tidak mempunyai sebarang merit.

Mohd Zawawi, dalam penghakimannya, berkata pada pandangan mahkamah terdapat beberapa kekangan dan halangan dalam perundangan jika rayuan itu dibenarkan.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 9 Ogos lalu dengan alasan Mohd Sidek sebelum ini Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menjalankan siasatan awal kes terbabit, manakala Choo Boon pula seorang daripada anggota PPK.

Pada 8 Ogos lalu, Suruhanjaya Siasatan menolak permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan R Sivarasa, masing-masing mewakili Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bantahan awal berhubung pelantikan berkenaan.

Mohd Sidek dilaporkan berkata, suruhanjaya berkenaan dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati bagi memulakan prosiding siasatan kes kerugian BNM tanpa mendengar bantahan awal peguam.

Dalam keputusannya menolak permohonan kebenaran Dr Mahathir untuk mencabar pelantikan itu, Mahkamah Tinggi mendapati suruhanjaya berkenaan tiada kuasa menggugurkan anggota dalam panelnya sendiri kerana lantikan hanya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Mahkamah, dalam keputusan pada 17 Ogos lalu, menyatakan perintah ‘mandamus’ dikemukakan Dr Mahathir supaya Kabinet memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melucut hak kelayakan Mohd Sidek dan Choo Boon adalah tidak berasas.

Dalam prosiding hari ini, Dr Mahathir selaku perayu diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke mewakili Suruhanjaya Siasatan dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Terdahulu, Loke dalam hujahnya, berkata isu yang dibangkitkan Dr Mahathir kini bersifat akademik kerana Suruhanjaya Siasatan sudah membuat rumusan dan cadangan dalam laporannya yang kemudian dibentangkan di Parlimen dan didedahkan kepada umum.

Katanya, tidak ada asas pada peringkat ini untuk mempertikaikan komposisi ahli dalam panel kerana Suruhanjaya Siasatan sudah selesai melaksanakan fungsinya.

Mahkamah Rayuan kemudian turut memerintahkan Dr Mahathir membayar kos sebanyak RM10,000. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *