Jenazah Lima Beranak Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

KLUANG – Jenazah lima beranak yang terbunuh dalam kemalangan di Segamat petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan di sini pukul 2.35 petang ini.

Kesemua jenazah dibawa dengan dua van jenazah Masjid Al-Islah Haji Manan dari rumah keluarga mangsa di Kampung Mengkibol, Jalan Kluang-Renggam tiba kira-kira pukul 2 petang diiringi dengan beberapa kenderaan milik ahli keluarga dan rakan-rakan arwah.

Kira-kira lebih 300 ahli keluarga dan penduduk setempat datang memberi penghormatan terakhir sebelum mereka disemadikan.

Jenazah Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30; isteri, Zinnirah Abdul Hamid, 28, dan tiga anak mereka, Nur Maghfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, 3 bulan, tiba dari Hospital Daerah Segamat (HDS) pukul 12.45 tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.10 petang semalam kereta Perodua Viva dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 176 Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa maut di tempat kejadian manakala Nur Alia Humairah meninggal dunia semasa mendapat rawatan di HDS.

Sementara seorang lagi anak mangsa yang turut menaiki kereta itu, Nur Ghaziyah Athirah, 3, cedera parah dan masih dirawat di Unit Kecemasan HDS. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *