Alif Kongsi Pengalaman Indah Usung Jenazah

Pengalaman membantu mengusung sendiri jenazah di Makkah baru-baru ini, merupakan kenangan berharga buat Alif Satar.

Berkongsi pengalaman itu, pelakon dan penyanyi itu berkata, tiada perkataan yang boleh mengambarkan ‘keindahan’ suasana ketika itu.

“Rasanya sangat ‘wonderful’, rasa sesuatu yang orang lain tak pernah rasa.

“Kalau diingati semula, satu pengalaman baharu kerana disana orang akan berebut-rebut untuk mengusung jenazah,” kongsinya, petik Sinar.

Sebelum ini, video perkongsian Alif sedang membantu mengusung jenazah di Mekah menjadi tular di media sosial.

Perkongsian tersebut dibuat Alif pada tiga hari lepas dan telah ditonton sebanyak 1.3 juta kali oleh pengikut laman sosial Instagram.

Berbicara lanjut, Alif berkata, pengalaman itu telah banyak mengingatkan beliau dengan ‘kehidupan selepas kematian’.

“Rasa sebak sangat, kita akan ingat akan mati dan berdoa agar kematian kita nanti ada yang mahu berebut-rebut mengusung jenazah kita, kalau dilihat seperti satu anugerah jika meninggal dunia di Makkah.

“Mari terfikir macam manalah kalau mati nanti, bersediakah kita dan macam mana ‘dunia’ di sana nanti,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya bagaimana beliau mendapat laluan untuk membantu mengusung jenazah, Alif berkata ia bermula daripada dorongan kawannya, yang berada di Mekah.

“Kawan saya tanya, pernahkah saya mengusung jenazah di Makkah, saya kata tak pernah…jadi dia bawakan saya ke ‘tempatnya’.

“Dia pesan dekat saya lepas sahaja habis solat (solat zuhur ketika itu), cepat lari pergi ke kawasan ‘gate’, sebaik sahaja gate dibuka kau terus masuk,” kongsinya.

Alhamdulillah tuturnya, beliau akhirnya berjaya menjadi salah seorang dapat membantu mengusung jenazah.

“Ketika itu dapat jugalah saya membantu mengusung dua tiga jenazah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan doa kepada semua agar mereka turut dapat menjejakan kaki ke Tanah Suci.

“Percayalah Makkah sangat-sangat indah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *