Video: Duta Palestin Kecam Trump, Sabotaj Perjanjian Damai

KUALA LUMPUR – Duta Palestin di Malaysia, Dr. Anwar H. Al Agha hari ini mengecam keputusan yang diambil oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israeal.

Menurut beliau, keputusan itu merupakan sabotaj terhadap perjanjian damai dan bertentangan dengan pendirian Palestin.

“Tindakan ini boleh kita katakan sebagai satu bentuk sabatoj perjanjian perdamaian dan ia juga akan menimbulkan ketegangan bukan hanya di dalam negara tapi di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, di sini hari ini.

Dr. Anwar merupakan antara delegasi asing yang dijemput untuk menghadiri perasmian PAU 2017 oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, tanpa mengendahkan ama­ran dunia Trump tetap berdegil untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan pejabat kedutaannya di Tel Aviv ke bandar itu sekali gus memecahkan dasar berhati-hati AS dan bakal mencetuskan pembe­rontakan di Asia Barat.

Namun keputusan Trump itu yang merupakan janji utama dalam kempen pilihan raya tahun lalu, akan menterbalikkan dasar AS sejak berdekad-dekad lalu yang melihat status Baitulmaqdis sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin, yang mahukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Ekoran keputusan itu, Palestin mengesa agar Amerika Syarikat mengkaji semula keputusan berkenaan kerana bukan semua Baitulmaqdis adalah milik Israel.

“Kami tahu ramai yang tidak percaya dengan pengiktirafan yang dibuat oleh Trump ini dan ia merupakan satu kesilapan,” katanya.

Justeru itu, Dr. Anwar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mencari penyelesaian kepada tindakan Amerika Syarikat ini.

“Kami juga berharap masyarakat komuniti antarabangsa dapat masuk campur kerana sekiranya perkara ini jadi semakin meruncing kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menfailkan kes terhadap pentadbiran Amerika Syarikat,”ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *